Saturday, February 03, 2024

KENALI RAJA PERMAISURI AGONG, RAJA ZARITH SOFIAH

KENALI RAJA PERMAISURI AGONG, RAJA ZARITH SOFIAH. Assalamualaikum. Masih belum terlambat rasanya ingin Cik Rose coretkan kenangan ini di laman blog sendiri. Jom kita kenali Raja Permaisuri Agong kita - Sumber dari Media Digital Johor, Bernama dan Harian Metro. 



Raja Permaisuri Agong diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak. Seri Paduka Baginda merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato' Sri Ariff Shah.


Raja Zarith Sofiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar, Perak sebelum menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, juga di Kuala Kangsar.


Seri Paduka Baginda kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di Cheltenham Ladies' College di England pada 1972, sebelum menyambung pengajian tinggi di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford pada 1979 sebelum dikurniakan Bachelor of Arts in Chinese Studies pada 1983.




Pelantikan Permaisuri Johor


Seri Paduka Baginda dikurniakan gelaran Permaisuri Johor bersempena dengan Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.


Anakanda Putera Dan Puteri


Raja Zarith Sofiah diijabkabulkan bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim pada 22 September 1982 semasa Sultan Ibrahim bergelar Tunku Mahkota Johor.


Perkongsian hidup Seri Paduka Baginda berdua dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.


Minat dan bakat


Mewarisi minat dan bakat seni ayahanda terutamanya dalam seni lukis, Seri Paduka Baginda pernah menyertai beberapa pameran seni seperti pameran Galeri Seni Yayasan Warisan Johor pada 2003 dan pameran seni anjuran Maybank Kuala Lumpur yang memberi penghormatan kepada tiga generasi seniman Johor pada 2004.

Raja Zarith Sofiah juga merupakan seorang penulis prolifik dan pernah mempunyai ruangan akhbar khusus iaitu  On Common Ground untuk New Straits Times dan Mind Matters untuk The Star, malah sebelum itu, Seri Paduka Baginda juga pernah menulis empat buku kanak-kanak pada 1995.


Jawatan disandang


Pada masa ini, Seri Paduka Baginda menjadi Penasihat Diraja kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.


Pencapaian


Raja Zarith Sofiah merupakan seorang kerabat diraja yang bergiat aktif dalam pelbagai kerja kebajikan, khususnya melalui platform badan bukan kerajaan (NGO) sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu dianugerahkan ijazah kehormat daripada University of Nottingham pada 2017.

Pada 17 Mac 2016, Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan program "Because We Care" Chancellor's Fund yang bertujuan menjaga kebajikan pelajar golongan B40 di UTM, serta turut mengilhamkan program Bangsa Johor Bahagia pada 17 Mac 2019 yang memberi penekanan terhadap aspek kebajikan masyarakat, khususnya golongan B40.

Raja Zarith Sofiah sering dijemput sebagai pengucap tama persidangan akademik di dalam dan luar negara termasuk menyampaikan ucap tama pada Persidangan Meja Bulat OCIS-UTM, bertemakan Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies, anjuran UTM dan Oxford Centre of Islamic Studies (OCIS) pada Mei tahun lalu.


No comments:

Post a Comment