Resepi Sotong Goreng Kunyit Yang Mudah dan Sedap

Resepi Sotong Goreng Kunyit Yang Mudah dan Sedap.


Assalamualaikum. Ada peminat sotong kat sini? Pelbagai resepi berasaskan sotong boleh dicuba kan? Sambal, goreng tepung, goreng kunyit, kari, masak lemak dan banyak lagi. Semuanya sedap-sedap belaka. 


Dulu, Cik Rose kurang gemar makan sotong, melainkan sotong goreng tepung. Maklumlah lebih suka memilih udang berbanding sotong. 


Tapi, baru-baru ni tekak suka pula dengan sotong. Sambal sotong! Aih sedapnya. Boleh bertambah-tambah nasi jadinya. Bila sebut tentang masakan sotong, sudah tentu teringat akan air tangan mak. Sedapnya mak masak sambal sotong dan sotong masak rempah. 



Hari ni Cik Rose nak kongsikan satu resepi sotong yang sangat senang dan pastinya sedap dengan korang. Resepi apa ya? Resepi sotong goreng kunyit. Tapi, bukan versi yang garing. Versi ada kuah-kuah sikit, manjaahh jer.




Resepi Sotong Goreng Kunyit 


Bahan yang diperlukan untuk menyediakan sotong goreng kunyit ni mudah sangat. 


  • Tiga ulas bawang putih dihiris
  • Setengah biji bawang besar juga dihiris
  • Halia sedikit juga dihiris
  • Satu biji bawang besar dipotong bulat
  • Satu batang cili merah dan 7 biji cili padi ditumbuk. (Bilangan cili ikut citarasa masing-masing ya)
  • Lobak merah dipotong nipis dan memanjang
  • Asam keping/air asam jawa
  • Garam
  • Serbuk cukup rasa
  • Serbuk kunyit
  • Sotong digaul kunyit




Cara-cara penyediaan sotong goreng kunyit


Cik Rose akan letak sotong yang telah digaul kunyit tadi dalam kuali panas terlebih dahulu. Untuk mengeringkan air sotong. Dan kalau kita masak nanti, tak adalah sotong mengecut sangat. 


Panaskan minyak. Masukkan hirisan bawang pitih dahulu. Bila dah kekuningan, baru masukkan hirisan bawang besar.Kemudian cili yang ditumbuk tadi.  - Ada sebab Cik Rose tumis satu-satu. Dulu, Cik Rose masuk je semua. Tapi, ada yang kongsikan dalam facebook, kalau kita masukkan satu-satu, lagi sedap. Jadi, Cik Rose cubalah kan. Ada bezanya tau. 


Kemudian masukkan lobak merah, biar sekejap je. Terus masuk asam keping atau air asam jawa. Kalau korang guna asam keping, tambah air sedikit ya. 


Kemudian masukkan sotong, serbuk kunyit sedikit dan bawang besar yang dipotong bulat tu. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa jika suka. 


Masa masukkan sotong tu, boleh besarkan api ya. Jangan masak terlalu lama pula, nanti sotong jadi liat.


Mudah kan?



Selamat mencuba!







Post a Comment

2 Comments