SAKIT BISUL | TANDA-TANDA GEJALA DAN CARA RAWATAN BISUL . Assalamualaikum. Hari ni Cik Rose nak berkongsi tentang bisul. Ada yang pernah kena bisul? Sakitnya, aduhai tak tertahan. Kecil-kecil cili padi.
Jangan ambil remeh mengenai bisul. Bimbang melarat sakitnya tu. Bisul juga memakan masa berminggu untuk sembuh. Nanh berkumpul di tempat bisul, tu yang jadi sakit. Nak tunggu bisul pecah, aduhai menanggung sakit dahulu. Ada pula bisul yang tak ada mata, tu yang perlu buat rawatan di klinik.
Tempat bisul terjadi pun memainkan peranan. Kalau terjadi di bahagian pangkal peha dan punggung, tu yang tak tertanggung rasanya. Bisul boleh tumbuh di mana-mana bahagian tubuh tetapi kerap muncul di muka, leher, ketiak, punggung atau paha.Kawasan berkenaan mempunyai rambut, kerap berpeluh dan mudah bergesel.Penyakit ini mungkin remeh bagi sesetengah individu dan sering diabaikan kerana diyakini tidak memberi kesan serius sedangkan tanpa mereka sedari, gangguan ini boleh mengancam nyawa.
Bisul seperti ketulan menyakitkan berwarna merah jambu atau merah dengan saiz lebih kurang setengah inci diameter. Kulit di sekelilingnya akan kelihatan merah dan bengkak, terasa panas, boleh menyebabkan demam dan lenguh di bahagian tertentu seperti ketiak.Bisul kecil selalunya pulih tanpa meninggalkan parut tetapi bisul besar mungkin akan meninggalkan tanda di kulit.
Jangkitan perlu dirawat dengan antibiotik atau pembedahan kecil bagi mengelak melarat. Jangkitan perlu dirawat dengan antibiotik atau pembedahan kecil bagi mengelak melarat.
Kenapa Cik Rose nak ceritakan mengenai sakit bisul ni?
Dalam entry sebelum ni, Cik Rose ada cerita yang Cik Rose diuji dengan masalah kesihatan. Inilah dia sakitnya. Sehingga Cik Rose diberikan cuti sakit dan terpaksa sambung cuti rehat lagi.
Cik Rose coretkan di sini, untuk memori diri sendiri.
KRONOLOGI KENA BISUL
03.08.2022 (RABU)
- Rasa demam tak demam. Cik Rose rasa seram sejuk. Tapi dalam badan panas.
04.08.2022 (KHAMIS)
- ada biji kecil macam jerawat tumbuh. Oh bisul nak naiklah ni.
05.08.2022 (JUMAAT)
- rasa sakit di bahagian bisul dan sekelilingnya. Tak dapat nak duduk dengan betul. Suami pergi farmasi untuk beli ubat, tetapi hanya diberikan krim. Farmasi suruh rujuk doktor dahulu untuk ubat. Terpaksa makan ubat tahan sakit lagi. Hilang je kesan ubat, sakit semula. Masih boleh tahan sakitnya.
06.08.2022 (SABTU)
- Sakit sangat rasanya. Bengkak makin besar. Di sekeliling bisul macam ada urat-urat merah. Cik Rose ada program di luar dengan kawan-kawan, jadi Terus makan ubat tahan sakit. Tu ubat last. Sebenarnya ubat ni Cik Rose tak beli pun. Ubat tahan sakit ni, mak Cik Rose pernah bagi masa balik kampung dulu. Pada sebelah malam, sakit sangat rasa bila kesan ubat tu dah habis. Berdenyut-denyut dan panas di sekelilingnya. Tak dapat tidur.
07.08.2022 (AHAD)
- Bangun pagi tu, ajak suami ke klinik. Cik Rose google klinik doktor wanita dan yang buka pada hari Ahad. Dalam pukul 9 pagi, bergerak ke Klinik Dr Hannani di Batu Pahat, Johor. Mungkin sebab hari Ahad, ramainya orang. hihi. Agak lama juga menunggu. Mungkin rasa lama sebab tak selesa nak duduk, rasa sakit kan. Klinik ni cantik! Tempat duduk banyak. Layanan mesra. Alhamdulillah.
Setelah sampai giliran Cik Rose, masuklah jumpa doktor. Tapi, bukan Dr Hannani yang merawat. Malu-malu je nak cakap ada bisul. Doktor terus minta baring nak tengok bisul tu. Doktor cakap tengah meradang ni, tu yang ada kesan macam jalur merah-merah di sekeliling bisul. Masih belum ada mata. Jadi, doktor berikan suntikan tahan sakit dahulu. Cik Rose dapat ubat antibiotik, ubat surut bengkak dan ubat tahan sakit.
08.08.2022 (ISNIN)
- Bengkak membesar dan masih sakit. Makan ubat mcam biasa, ikut aturan.
09.08.2022 (SELASA)
- Pergi semula ke Klinik Dr Hannani. Alhamdulillah, berpeluang berjumpa dengan Dr Hannani. Doktor check bisul tersebut dan decide buat pembedahan kecil. Eh, panggil pembedahan ke ye? hihi. Sebab belah bisul tu, Cik Rose panggil pembedahanlah kan? hihi. Sebelum tu, cucuk bius dahulu. Ya Allah sakitnya masa cucuk bius tu. Dua jarum. Sempat juga air mata jatuh. Dalam hati, hanya zikir peneman diri.
Sementara bius tu 'jalan', Cik Rose sempat tengok handphone. Hantar whatsapp pada suami, keluarga dan kawan Cik Rose yang bawakan ke klinik tu. Ok, masanya telah tiba. Doktor start buat rawatan. Cik Rose dapat rasa tangan doktor di bahagian bisul tu, tapi Alhamdulillah tak rasa sakit - sebab dah bius.
Setelah selesai, doktor bagi ubat tahan sakit dan ubat antibiotik. Lain ye ubat tahan sakit berbanding masa Cik Rose dapat hari Ahad tu. Dalam perjalanan balik rumah, Cik Rose makan ubat tahan sakit sebab dah mula rasa pedih dibahagian bisul tu. Luka lebih kurang berbentuk X.
10.08.2022 (RABU)
-Teruskan makan ubat. Cuci sendiri bahagian luka tersebut. Part ni yang Cik Rose takut. Sebab kesan luka tu, nak kena jaga betul-betul. Takut sangat luka tu lambat baik atau dapat infeksi lain. Cik Rose berpantang sementara makan. Pergi lagi farmasi. Kali ni beli kapsul minyak kelapa dara, kapas, tisu dan beberapa kelengkapan lain untuk cuci luka. Agak sukar nak cuci sebab di bahagian belakang.
Setelah seminggu, Cik Rose masih tak dapat duduk betul-betul. Sakit di bahagian luka tu. Duduk rumah, memang jaga betul-betul. Baru nak baik, sakit semula sebab Cik Rose naik motor ke tempat kerja.
Alhamdulillah, setelah dua minggu, Cik Rose dah sembuh.
Di sini Cik Rose kongsikan info mengenai bisul yang diambil dari laman web myhealth.
Apa itu Bisul?
Bisul merupakan nanah yang terkumpul dalam satu rongga yang sangat menyakitkan. Ia biasanya mengeras dan terdapat di sekeliling pinggang, belakang bahagian leher, pangkal peha, atas kaki, punggung dan di bawah ketiak. Kelompok bisul dipanggil pekung (carbuncles) tetapi perubahan pada kulit seperti ini tidak biasa berlaku kepada kanak-kanak.
Apa penyebab Bisul?
Bisul disebabkan oleh bakteria pada rambut folikal dan sekeliling kulit yang mana pada mulanya muncul sebagai jerawat. Bakteria yang paling biasa membentuk bisul dipanggil Staphylococcus aureus.
Siapakah yang berisiko mendapat Bisul?
Mereka yang lebih berisiko mendapat bisul ialah :
- Mereka yang kurang menjaga kebersihan diri.
- Kawasan penempatan yang sesak seperti di intitusi dan rumah kebajikan.
- Atopy (alahan).
- Ahli keluarga yang mengalami jangkitan kulit berulang.
- Sistem imuniti badan yang lemah.
- Kurang zat makanan.
- Pesakit diabetes.
Apakah tanda-tanda dan gejala Bisul?
Gejala untuk bisul ini hampir menyamai penyakit kulit yang lain seperti:
- Nanah di bahagian tengah bisul.
- Keputihan, lelehan mengandungi darah daripada bisul tersebut.
- Kemerahan di sekeliling kulit yang dijangkiti.
- Biasanya di ikuti rasa teramat sakit apabila disentuh.
Bagaimanakah mendiagnosa Bisul?
Biasanya penyakit bisul di diagnosa oleh doktor melalui pengamatannya.
Bagaimanakah merawat Bisul?
Rawatan khusus untuk bisul ini akan ditentukan oleh doktor berdasarkan umur kanak-kanak tersebut, Keseluruhan kesihatannya dan bersesuaian dengan penyakit yang lain sekiranya ada. Ia juga bergantung kepada toleransi kanak-kanak terhadap ubatan khusus yang diberikan.
Rawatan termasuk :
- Anti-biotik yang bersesuaian (semasa).
- Melakukan demahan suam untuk menggalakkan aliran nanah.
- Pemberian ubat antibiotik secara oral atau suntikan berdasarkan keseriusannya.
- Melakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah.
Memberi pendidikan kesihatan amat penting dalam merawat sebarang penyakit kulit yang bahaya.
Bagaimanakah Bisul dapat dicegah?
- Menjaga kebersihan diri dengan baik.
- Pastikan kulit sentiasa bersih.
- Basuh tangan sebelum menyentuh muka.
- Jangan berkongsi tuala mandi atau pakaian.
Elakkan dari menekan bisul terutamanya yang ada di sekeliling mulut atau hidung kerana ianya bahaya boleh menyebabkan jangkitan kepada bahagian kulit lain atau aliran darah.
Prognosis (Harapan untuk Sembuh)
Harapan untuk sembuh bagi bisul adalah baik.
0 Comments