Sunday, September 05, 2021

RESEPI SAMBAL PETAI IKAN BILIS YANG SEDAP DAN MUDAH

RESEPI SAMBAL PETAI IKAN BILIS YANG SEDAP DAN MUDAH. | Assalamualaikum. Selamat pagi. Saban hari banyak perkongsian resepi di facebook. Ada banyak kumpulan masak/resepi di facebook. Melihat sahaja gambar dah membuatkan Cik Rose rasa mahu mencubanya. Tapi, tidaklah rajin mana sebenarnya. Sekadar melihat dan berkongsi bolehlah. hihi. 


Baru-baru ni, ada rezeki pemberian petai dari jiran. Alhamdulillah. Kebetulan ada pula ikan bilis. Apalagi, terus terbayangkan kesedapan sambal petai ikan bilis air tangan mak di kampung. 


Cik Rose memang suka petai yang tidak dibuang kulit. Cukup hanya kikis-kikis sedikit kulit petai tu, dan potong kecil. Bila buat sambal, memang sedap kejadiannya. Kurang bau petai orang kata. Tak pastilah betul ke tak. Beria Cik Rose masak, tapi tak boleh makan banyak. Angin pada Cik Rose. Bila makan banyak, nanti jadi macam susah nak bernafas. Badan sendiri, kita yang tahu kan. 


Ada orang cakap, makan je semua. Mana ada buah atau sayur yang angin. Aduhai, hakikatnya kita yang rasa gitu. Tak sanggup nak menanggung kesannya. Antara yang  Cik Rose tak boleh terlebih makan adalah terung, kacang panjang, kacang botol, sayur kacang peas, nangka, dan tembikai. 


CARA MASAK SAMBAL PETAI IKAN BILIS YANG MUDAH


Ok, berbalik kepada resepi sambal petai ikan bilis. Cik Rose bukanlah pandai masak sangat, sekadar boleh memasak untuk diri sendiri dan keluarga sahaja. Masak lauk yang ringkas gitu. Macam sambal petai ikan bilis ni : 





Cara Cik Rose, suka goreng terlebih dahulu ikan bilis tu. Sesetengah orang tak gemar. Jadi, boleh olah ikut kesukaan ya. 


Bahan-bahan Sambal Petai Ikan Bilis


Bahan untuk ditumbuk :

3 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
Sedikit belacan ( bakar dahulu)

Bahan lain :

2 senduk cili kisar
Air asam jawa / asam keping
Ikan bilis yang digoreng
Petai secukupnya (kikis kulitnya dan potong)
Sedikit gula
Garam
Serbuk perasa (jika mahu)


Cara-cara memasak Sambal Petai Ikan Bilis


  • Goreng ikan bilis terlebih dahulu. Dengan menggunakan minyak gorengan tu, tumis bahan-bahan yang kita tumbuk tadi (bawang putih, bawang merah dan belacan yang dibakar).
  • Dah naik bau, masukkan cili kisar. Biarkan hinggan cili masak. 
  • Kemudian, masukkan air asam jawa atau asam keping. 
  • Bolehlah masukkan petai. Bila petai seakan masak, perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa. Bila kita masukkan gula, sambal kita akan jadi cantik warnanya tau. 
  • Kemudian masukkan ikan bilis yang telah digoreng. Siap. (*Kalau nak kekalkan ikan bilis yang rangup, masukkan ikan bilis setelah sambal petai tu sejuk dahulu. )
  • Sedia untuk dimakan bersama nasi atau roti.


Selamat mencuba ya. Sungguh mudahkan. Bahannya sedikit sahaja. Masak simple-simple gini, memang bertambah nasi jadinya. Goreng pula telur dadar, letak kicap. Alahai, sedapnya. 

1 comment:

  1. Saya lebih suka makan petai masak sambal dari petai mentah punya.

    ReplyDelete